Friday, August 12, 2011

PENGENALAN

PENGENALAN

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) menyediakan murid yang berilmu pengetahuan untuk menghadapi arus globalisasi pada abad ke-21. Justeru, matlamat dan aspirasi pendidikan dilahirkan dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP). Sukatan Pelajaran yang disemak semula bagi KBSR memerlukan buku teks sebagai wadah yang membawa matlamat dan aspirasi bagi sesuatu mata pelajaran. Buku teks ditulis berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, SP KBSR dan HSP mata pelajaran KBSR.

Sektor Penerbitan Sekolah Rendah telah menyediakan Panduan Penulisan Pakej Buku Teks bagi setiap mata pelajaran berdasarkan kurikulum. Panduan Penulisan bertujuan memberi panduan kepada penerbit dan penulis buku teks tentang ciri-ciri yang perlu dimuatkan dalam buku teks dan spesifikasi yang perlu dipatuhi dalam penulisan Pakej Buku Teks. Aspek penting seperti prinsip-prinsip KBSR, SP dan HSP serta hasrat dan aspirasi negara diberi penekanan.

Pakej Buku Teks KBSR

Pakej Buku Teks KBSR sebagai bahan utama pembelajaran murid memerlukan kepakaran dalam menulisnya. Penulisan Pakej Buku Teks mestilah menepati keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Matlamat Pendidikan Sekolah Rendah yang dapat membantu perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu seperti yang dikehendaki oleh KBSR. Pakej Buku Teks mengandungi bahan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang disediakan melalui bahan penulisan.

Komponen bagi Pakej Buku Teks ini adalah seperti berikut:
  1. Buku Teks (BT)
  2. Buku Latihan dan Aktiviti (BLA)
  3. CD-ROM Murid (MyCD)
  4. CD-ROM Guru (CD Guru) untuk Tahap 1
  5. Buku Panduan Guru (BPG)
  6. Practical Book
Pakej Buku Teks yang disediakan mestilah lengkap dan memenuhi kehendak SP dan HSP serta mampu digunakan oleh murid sebagai bahan utama pembelajaran. Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) membantu memperkukuhkan pembelajaran. MyCD merupakan bahan sokongan kepada buku teks. Buku Panduan Guru (BPG) hendaklah mengandungi maklumat yang boleh membimbing guru dan murid ke arah mencapai hasil pembelajaran yang optimum.

Buku Teks

Buku Teks ialah bahan pembelajaran asas yang utama untuk murid. Bahan ini ditulis dengan bahasa yang mudah difahami, ringkas dan lengkap. Buku teks mengandungi kemahiran dan nilai mengikut SP dan HSP.


Buku Latihan dan Aktiviti (BLA)

Buku Latihan dan Aktiviti disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman yang telah dipelajari daripada buku teks. Buku Latihan dan Aktiviti mengandungi soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid.

CD-ROM Murid (MyCD)(untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mathematics dan Science sahaja.

CD-ROM Murid (MyCD), yang disediakan adalah bahan multimedia interaktif sokongan kepada buku teks. MyCD mengandungi latihan interaktif yang pelbagai, e-jurnal, e-mel, galeri multimedia, capaian internet dan sebagainya supaya murid dapat memahami isi pelajaran dan seterusnya menguasai Aras Pembelajaran.

CD-ROM Guru (untuk matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mathematics dan Science sahaja.

CD-ROM Guru merupakan bahan rujukan guru untuk merancang pengajaran dan pembelajaran dengan lebih teliti dan berkesan. CD-ROM Guru mengandungi strategi pengajaran, aktiviti tambahan, cadangan jawapan yang bersesuaian, bahan-bahan pengajaran dan soalan-soalan fomatif dan sumatif. Buku Panduan Guru hanya disediakan untuk satu mata pelajaran di Tahap 1 (Matematik Tahun 1 kerana CD-ROM Guru dibekalkan di sekolah.)

Buku Panduan Guru (BPG)

Buku Panduan Guru (BPG) ialah bahan sumber untuk guru. Buku ini merupakan panduan untuk guru merancang pengajaran dan pembelajaran apabila buku teks digunakan. Buku ini seharusnya mengandungi maklumat tentang strategi pengajaran dan pembelajaran, cadangan aktiviti dan cadangan jawapan. Isi kandungan buku ini adalah mengikut urutan kandungan buku teks.

Practical Book

Practical Book disediakan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran Sains dilaksanakan secara amali dan bukapn secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali. Pembelajaran seperti ini dapat menimbulkan minat murid terhadap Sains.

Penulisan Pakej Buku Teks KBSR

Sebelum sesebuah Pakej Buku Teks KBSR ditulis, penulis mesti memahami dan menghayati perkara berikut:

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Penulisan Pakej Buku Teks KBSR yang baik harus dapat merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Maka wajarlah bagi seorang penulis untuk memahami dan menghayati kandungan FPK supaya dapat menjelmakan hasrat tersebut dalam penulisannya. Berikutnya ialah FPK:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Prinsip dalam KBSR

Dalam menulis Pakej Buku Teks, penulis perlu terlebih dahulu memahami dan menghayati Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) mengikut mata pelajaran seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pemilihan bahan untuk kandungan buku teks perlu mengandungi prinsip-prinsip yang diberi penekanan dalam KBSR. Prinsip-prinsip tersebut ialah seperti yang berikut:
  1. Kemahiran asas
  2. Kemahiran berfikir
  3. Bahasa merentas kurikulum
  4. Alam sekitar merentas kurikulum
  5. Nilai, patriotisme dan kewarganegaraan merentas kurikulum
  6. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid
  7. Penilaian berterusan
  8. Pengukuhan, pengayaan dan pemulihan
  9. Prinsip mudah ubah
  10. Sains dan teknologi merentas kurikulum
Sukatan Pelajaran mata pelajaran sekolah rendah dan Huraian Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah

Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah dan Huraian Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah mengikut mata pelajaran merupakan dua buah dokumen yang perlu dirujuk, diteliti dan difahami sebelum sebuah penulisan buku teks dimulakan. Selain dari prinsip-prinsip KBSR, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diterangkan dalam dokumen ini, ia juga mempunyai lajur-lajur yang memuatkan objektif pelajaran, hasil pembelajaran dan cadangan aktiviti atau tajuk-tajuk yang boleh dirujuk semasa penulisan Pakej Buku Teks.
Aspirasi dan Hasrat Negara

Penulisan pakej buku teks mestilah mendukung cita-cita dan hasrat masyarakat serta negara ke arah perpaduan dan integrasi nasional yang berteraskan semangat kewarganegaraan dan patriotisme.

Unsur Yang Mesti Dielakkan

Pakej Buku Teks tidak boleh mengandungi perkara yang berikut:
  1. Unsur sensitif, iaitu unsur yang boleh menimbulkan prasangka, diskriminasi, menjatuhkan maruah, merendahkan martabat terhadap ras, agama, kebudayaan, jantina, usia dan pekerjaan;
  2. Unsur negatif, iaitu unsur yang melibatkan sikap, pemikiran dan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai-nilai murni; dan
  3. Unsur subversif, iaitu unsur yang bertentangan dengan dasar-dasar negara.

No comments:

Post a Comment